Saidina Umar Al-Khattab adalah seorang yang dibangga-banggakan oleh kaum muslimin. Semangat keislamannya masih digeruni oleh orang kafir sehingga ke hari ini walaupun telah menjangkau ribuan tahun. Sebelum memeluk Islam, Saidina Umar adalah orang yang paling kuat menentang dan menyeksa orang Islam malahan beliau juga senantiasa cuba berusaha untuk membunuh Rasulullah SAW.
Pada suatu hari dikisahkan, kaum musyrikin Mekah telah bermesyuarat. Adakah sesiapa yang sanggup untuk membunuh Muhammad ? Lalu Umar berkata "Saya akan melakukannya."
Musyrikin Mekah berkata "Hanya engkau sahaja yang boleh melakukan pembunuhan itu." Umar lantas bangun dan membawa sebilah pedang untuk membunuh Rasulullah SAW.
Semasa dalam perjalanan dan sibuk memikirkan perancangan beliau untuk membunuh Rasulullah SAW, Umar telah bertemu dengan seorang lelaki bani Zuhrah yang bernama Sa'ad bin Abi Waqqas (sesetengah perawi menamakan sahabat yang lain). Lelaki itu bertanya "Wahai Umar, hendak ke manakah engkau? "
Lalu Umar menjawab, "Aku sedang memikirkan untuk membunuh Muhammad."
Lelaki itu berkata, "Bagaimana engkau boleh merasa selamat dari bani Hasyim, bani Zuhrah dan bani Abdul Manaf ? Mereka akan membunuh kamu sebagai tindakan balas".
Mendengarkan kata-kata Sa'ad bin Abi Waqqas, Umar naik berang lalu mengeluarkan pedangnya sambil berkata "Nampaknya engkau pun telah meninggalkan agamamu (iaitu memeluk Islam). Biar aku bereskan engkau terlebih dahulu."
Sa'ad bin Abi Waqqas juga mengeluarkan pedang dan berkata "Ya!, aku juga telah memeluk Islam."
Pertarungan hampir tercetus antara mereka. Sa'ad bin Abi Waqqas berkata "Ambillah tahu hal keluargamu dahulu, adik perempuan dan iparmu juga telah memeluk Islam." Mendengarkan berita itu, kemarahan Umar jadi meluap-luap dan beliau bergegas menuju ke rumah adiknya.
Di rumah adik Saidina Umar, Khabbab sedang mengajarkan Al-Quran kepada pasangan suami isteri itu dalam keadaan semua pintu tertutup. Umar meminta supaya pintu dibuka.
Mendengarkan keadaan itu, Khabbab segera menyembunyikan diri dari Umar. Dalam keadaan kelam kabut tersebut, lembaran-lembaran yang tertulis ayat Al-Quran telah tertinggal di luar.
Adiknya telah membuka pintu dan Umar mengetuk kepala adiknya itu dengan sesuatu yang ada ditangannya menyebabkan kepala adiknya berlumuran darah.
Umar berkata "Wahai musuh kepada dirimu sendiri, kamu juga telah meninggalkan agamamu." Selepas itu Umar masuk ke dalam rumah, beliau bertanya "Apakah yang sedang kamu lakukan?, Suara siapakah yang aku dengar tadi?".
Iparnya menjawab, "Kami sedang berbual-bual sahaja".
Umar bertanya lagi, " Adakah kamu telah meninggalkan agamamu dan menganut agama baru?"
Iparnya menyambut, "Bagaimana jika agama baru itu benar?"
Kata-kata iparnya telah membuatkan Umar naik berang, beliau menarik janggut iparnya, menerkam, menjatuhkannya lalu memukul iparnya sepuas hati.
Adiknya cuba meleraikan pergelutan tersebut tetapi ditampar oleh Umar menyebabkan mulut adiknya berdarah. Lalu Adik Umar berkata kepada Umar "Wahai Umar!, Kami dipukul hanya kerana kami memeluk Islam, Sememangnya kami telah pun memeluk Islam, Buatlah apa-apa yang kamu suka."
Umar ternampak lembaran-lembaran yang tertulis ayat suci Al-Quran yang ditinggalkan oleh Khabbab dalam keadaan tergesa-gesa tadi. Beliau meminta kepada adiknya untuk melihat apa yang tertulis di lembaran tersebut. Kemarahan Umar telah mula reda setelah memukul dengan bertubi-tubi tadi dan perasaan malu mula timbul kerana adik perempuannya berlumuran darah akibat pukulannya.
"Tunjukkan lembaran itu kepadaku" pinta Umar
"Kamu tidak suci!, tangan yang tidak suci tidak boleh menyentuhnya", balas adiknya.
Walau dipinta berkali-kali oleh Umar, namun adiknya tetap berkeras tidak mahu menunjukkan lembaran itu kepada orang yang tidak mandi junub dan tidak berwuduk.
Kemudian Umar akur dan beliau mandi terlebih dahulu sebelum menyentuh dan membaca lembaran suci itu. Di lembaran itu tertulis Surah Toha, Umar membaca surah itu sehingga ke ayat:
Yang bermaksud : "Sesungguhnya Akulah Allah; tiada tuhan melainkan Aku; oleh itu, sembahlah akan Daku, dan dirikanlah sembahyang untuk mengingati Daku.
Surah Toha Ayat 14
Keadaan beliau berubah sama sekali. Lalu Beliau berkata, "Baiklah, bawalah aku berjumpa dengan Muhammad."
Mendengarkan kata-kata itu, Khabbab keluar dari persembunyiannya dan berkata, " Wahai Umar!, Aku menyampaikan berita gembira kepadamu. Semalam ialah malam Jumaat, Rasulullah SAW telah berdoa, "Ya Allah!, Pilihlah antara Umar atau Abu Jahal yang engkau lebih suka untuk menguatkan Islam." (Saidina Umar dan Abu Jahal terkenal dengan kekuatan). Nampaknya doa Baginda telah diperkenankan untuk dirimu". Selepas itu Umar telah pergi bertemu Rasulullah SAW dan memeluk Islam pada pagi Jumaat.
Pengislaman Saidina Umar telah menyebabkan semangat orang kafir mula luntur. Namun jumlah orang Islam di Mekah pada waktu itu masih kecil berbanding dengan Orang Kafir. Oleh sebab itu, Kaum Musyrikin Mekah semakin marah dan sentiasa merancang untuk menghapuskan orang Islam.
Namun dengan keislaman Saidina Umar Al-Khattab, Orang Islam telah berani bersolat di Masjidil Haram. Abdullah bin Mas'ud berkata, "Keislaman Umar ialah satu kejayaan untuk orang Islam, penghijrahan beliau ialah satu bantuan untuk kaum muslimin, dan perlantikkan beliau sebagai khalifah adalah satu rahmat untuk kaum muslimin."
Rujukan : Asadul-Ghobah (Allamah Ibnu Atsir Jazuri)
Fadhilat Amal ( Maulana Zakariya Al-Kandahlawi)
Panjangkan artikel ini kepada sahabat-sahabat anda, semoga dapat memberi kesedaran kepada yang leka dan lalai. Kerana semua manusia di atas muka bumi ini sentiasa dalam keadaan rugi, 24 jam sehari, 365 hari setahun sentiasa dalam keadaan rugi, kecuali kepada orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka berpesan-pesan pada perkara yang benar dan berpesan-pesan dengan sabar. Wallahu a'lam.
Klik Share.
Panjangkan artikel ini kepada sahabat-sahabat anda, semoga dapat memberi kesedaran kepada yang leka dan lalai. Kerana semua manusia di atas muka bumi ini sentiasa dalam keadaan rugi, 24 jam sehari, 365 hari setahun sentiasa dalam keadaan rugi, kecuali kepada orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka berpesan-pesan pada perkara yang benar dan berpesan-pesan dengan sabar. Wallahu a'lam.
Klik Share.
No comments:
Post a Comment