Solat adalah amal ibadah fardhu yang wajib didirikan dalam waktunya yang telah sedia disyari’atkan berdasarkan firman Allah Subhanahu waTa'ala: Sesungguhnya solat itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan atas orang-orang yang beriman, yang tertentu waktunya.
[Maksud surah an-Nisaa' 04 - 103]
Baginda Nabi sallallahu-alaihi-wasallam telahpun menentukan secara terperinci bagaimanakah caranya menetapkan waktu solat dengan sabda beliau: Waktu Zuhur itu ialah ketika matahari telah condong ke Barat sehingga bayang-bayang orang seperti tingginya selama belum masuk waktu Asar dan akhir waktu Asar itu ialah selama mana belum menguningnya matahari, dan waktu solat Maghrib hingga sebelum hilangnya awan mega merah dan waktu Isya' ialah hingga tengah malam dan waktu subuh mulai dari terbit fajar hingga selama matahari belum terbit[1]. Dari hadith ini dapat kita fahami bahawa cahaya serta kedudukan matahari itu dijadikan alat ukuran bagi menentukan mula dan akhirnya sesuatu waktu itu.
Solat Subuh ialah ketika terbitnya fajar sadiq, iaitu dari munculnya warna putih yang merata (horizontal) di ufuk (horizon), dan waktu yang dibolehkan untuk melakukan solat ini terus berlangsung hingga nampak timbulnya bulatan terawal matahari.
Solat Zuhur ialah dari tergelincirnya matahari timur ke barat dari posisinya yang tegak hinggalah apabila bayang-bayangnya menjadi sama panjang dengan sesuatu yang dibayanginya.
Solat Asar iaitu dari tergelincirnya matahari timur ke barat lalu bayangannya melebihi panjang yang asal dari sesuatu yang dibayanginya hinggalah apabila matahari condong menghampiri ufuk Barat lalu berkuningan rupa-bulatannya. Kuningnya matahari ialah seketika pendek sebelum terbenamnya keseluruhan bulatan matahari tersebut dan seseorang di waktu itu tetap dikira telah mendapat solat Asarnya berdasarkan sabda Nabi sallallahu-alaihi-wasallam: Barangsiapa yang telah mendapat serakaat dari solat Asar sebelum terbenam matahari maka dia telah mendapat solat Asar secara tunai[2] .Seseorang yang sempat melengkapkan satu rakaat disaat ini adalah dikira sebagai telah mendapat solat Asarnya itu, dia hanya perlu terus melengkapkan bilangan rakaat yang selebihnya.
Solat Maghrib pula bermula apabila tenggelamnya keseluruhan bulatan matahari ke bawah ufuk (horizon) hinggalah apabila mega-mega merah di arah Barat langit mula menghilang.
Solat Isya’ pula apabila hilang cahaya mega merah di ufuk Barat maka masuklah dan waktunya itu berlangsung sehingga ke pertengahan malam berdasarkan hadith Nabi sallallahu-alaihi-wasallam: dan waktu Isya' ialah hingga tengah malam. Sementara itu terdapat pendapat yang mengatakan bahawa waktu solat isya' itu adalah sehingga terbitnya fajar sadiq di esok paginya berdasarkan hadith: Tidak ada kecuaian kerana tertidur tetapi kecuaian ialah pada orang yang tidak solat sehinggalah datang waktu solat yang lain[3] .
Hadith ini difahami sebagai menerangkan bahawa waktu solat itu berlangsung sehingga masuk waktu solat yang lain. Walaubagaimanapun pendapat ini dikira lemah kerana hadith kedua tersebut adalah bersifat umum manakala hadith pertama bersifat khusus, jelas menerangkan bahawa waktu isya' itu berakhir di separuh malam.
Dalam kaedah usul al-Fiqh, jikalau terdapat dua dalil yang nampaknya bertentangan dalam satu keadaan maka hendaklah diutamakan dan diambil hukum dari dalil yang khusus berbanding dengan yang umum. Maka secara umum semua solat itu berakhir dengan masuknya waktu solat yang lain kecuali bagi solat subuh dan isya' di mana telah ditentukan secara khusus dalam hadith yang berasingan tentang waktu akhirnya[4]. Mendirikan solat isya' selepas pertengahan malam hanya dibolehkan bagi mereka yang terlupa atau terlalai atau tertidur atau menghadapi suasana uzur atau darurat, demikian menurut Imam an-Nawawi dan Ibnu Qudamah.[5]
[1] Maksud hadith dari Abdullah bin Amr radiallahu-anhu, Sahih Muslim - hadith no: 0612.
[2] Imam as-Sha'nani - Subul-us-Salam, 1/307 . Maksud hadith dari Abu Hurairah ra, diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim, Misykat al-Masabih - 3/181/44.
[3] Maksud hadith riwayat Imam Muslim dari Abu Qatadah, Subul-us-Salam, 1/308.
[4] Imam as-Sha'nani - Subul-us-Salam, 1/308
[5] Imam an-Nawawi - Majmu Syarh al-Muhadzzab, 1/66, Imam Ibnu Qudamah - al-Mughni, 1/397; Prof. Dr. Hasbi as-Shiddieqie - Koleksi Hadith-hadith Hukum, 2/81-88
No comments:
Post a Comment