Thursday, June 21, 2012

Amalan yang membawa ke Syurga

Daripada Abu Umamah R.A, Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud:
"Bertakwalah kepada Tuhan kamu, tunaikanlah solat lima waktu kamu, berpuasalah pada bulan kamu (Ramadhan), tunaikanlah zakat harta kamu, dan taatilah orang yang mengendalikan urusan kamu, nescaya kamu akan memasuki syurga Tuhan kamu."- (Riwayat al-Tirmizi)

Penerangan:

Dikhususkan amalan dengan perkataan "Kamu" agar terdapat kesesuaian  antara perkataan yang berkaitan dengan balasan iaitu "Syurga Tuhan Kamu". Juga dilangsungkan akad jual beli antara hamba dari Tuhannya, sebagaimana yang difirmankan Allah S.W.T dalam ayat 111 Surah at-Taubah:



Maksudnya : Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang yang beriman akan jiwa mereka dan harta benda mereka dengan (balasan) bahawa mereka akan beroleh Syurga, (disebabkan) mereka berjuang pada jalan Allah maka (di antara) mereka ada yang membunuh dan terbunuh. (Balasan Syurga yang demikian ialah) sebagai janji yang benar yang ditetapkan oleh Allah di dalam (Kitab-kitab) Taurat dan Injil serta Al-Quran; dan siapakah lagi yang lebih menyempurnakan janjinya daripada Allah? Oleh itu, bergembiralah dengan jualan yang kamu jalankan jual-belinya itu, dan (ketahuilah bahawa) jual-beli (yang seperti itu) ialah kemenangan yang besar.

Al- Thibi mengatakan: Hikmah disandarkan dengan perkataan "kamu" ialah:

i) Memberitahu bahawa amalan-amalan yang mempunyai kaifiat yang tertentu ini adalah antara ciri-ciri khusus yang dimiliki oleh umat ini.

ii) Menggesa agar bersegera mematuhi perintah dengan perintah yang diberikan.

iii) Mengingatkan bahawa di sebalik penambahan perkataan ini terdapat penambahan ganjaran yang lebih tinggi dan sempurna itulah syurga. Perkataan syurga pula disandarkan kepada sifat ketuhanan (rabb). Ia memberikan bayangan maksud tentang kelebihan pemerhatian daripada Tuhan dengan memberikan nikmat yang berbeza daripada umat-umat yang lain.

(Tuhfah al-Ahwazi)

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...