Thursday, April 26, 2012

Khusyuk dan Tadabbur ketika membaca Al-Quran

Kewajipan kita yang seterusnya adalah bertadabbur ketika membaca al-quran. Ia bermaksud kita membacanya dengan penuh perasaan dengan hati yang khusyuk, dan memberikan sepenuh tumpuan ketika membacanya. Ini seperti mana yang digambarkan oleh Allah dalam Al-Quran:


Sekiranya Kami turunkan Al-Quran ini ke atas sebuah gunung, nescaya engkau melihat gunung itu khusyuk serta pecah belah kerana takut kepada Allah. Dan (ingatlah), misal-misal perbandingan ini Kami kemukakan kepada umat manusia, supaya mereka memikirkannya.
(Surah Hasyar, 59: 21)

Allah juga mengambarkan bagaimana sikap sebenar orang yang membaca kitab Allah, iaitu mereka menghayatinya sampai menangis hiba dan sujud tunduk kepada kebesaran Allah.


Katakanlah (wahai Muhammad kepada orang-orang yang ingkar itu): "Sama ada kamu beriman kepada Al-Quran atau kamu tiada beriman, (tidaklah menjadi hal); kerana sesungguhnya orang-orang yang diberi ilmu sebelum itu apabila dibacakan Al-Quran kepada mereka, mereka segera tunduk sujud (dalam keadaan hiba dan khusyuk); Serta mereka menegaskan (dalam sujudnya): "Maha Suci Tuhan kami! Sesungguhnya janji Tuhan kami tetap terlaksana. " Dan mereka segera tunduk sujud itu sambil menangis, sedang Al-Quran menambahkan mereka khusyuk.
 (Surah Al-Israa, 17: 107-109)


Allah telah menurunkan sebaik-baik perkataan iaitu Kitab Suci Al-Quran yang bersamaan isi kandungannya antara satu dengan yang lain (tentang benarnya dan indahnya), yang berulang-ulang (keterangannya, dengan berbagai cara); yang (oleh kerana mendengarnya atau membacanya) kulit badan orang-orang yang takut kepada Tuhan mereka menjadi seram; kemudian kulit badan mereka menjadi lembut serta tenang tenteram hati mereka menerima ajaran dan rahmat Allah. Kitab Suci itulah hidayah petunjuk Allah; Allah memberi hidayah petunjuk dengan Al-Quran itu kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya); dan (ingatlah) sesiapa yang disesatkan Allah (disebabkan pilihannya yang salah), maka tidak ada sesiapa pun yang dapat memberi hidayah petunjuk kepadanya.
  (Surah Az-Zumar, 39: 23)


(Al-Quran ini) sebuah Kitab yang Kami turunkan kepadamu (dan umatmu wahai Muhammad), -Kitab yang banyak faedah-faedah dan manfaatnya, untuk mereka memahami dengan teliti kandungan ayat-ayatnya, dan untuk orang-orang yang berakal sempurna beringat mengambil iktibar.
(Surah Sad, 38:29)


Bagaimana hendak menjadikan diri kita khusyuk dan tadabbur ketika membaca Al-Quran?

1. Hendaklah meneliti dan memberikan tumpuan pada setiap ayat yang di baca.

2. Cuba lihat maknanya.

3. Cuba untuk memahaminya.

4. Perhatikan bentuk dan jenis ayatnya sama ada ayatnya itu adalah ayat perintah atau ayat larangannya atau ayat yang mengandungi janji baik iaitu syurga, atau rahmat dan berkat atau ayat-ayat yang mengandungi ancaman azab atau bala daripada Allah.

5. Renunglah pula diri anda dan buat muhasabah diri. Adakah anda sudah melaksanakan segala perintah Allah tadi.

6. Bagaimana pula dengan larangannya? Adakah kita meninggalkannya atau masih melakukannya?

7. Yakinkah kita dengan segala janji Allah kepada orang yang beriman dengan syurganya dan rahmatnya.

8. Takutkah anda kepada ancaman azab Allah? Gementarkah hati anda mendengar ayat-ayat yang menceritakan ancaman nerakanya?

Pernahkah hati anda tersentuh dengan bacaan Imam atau Qari atau bacaan anda sendiri? jika Ya, Alhamdulillah. Syukurlah kepada Allah kerana itu adalah hidayah dan anugerah daripada Allah. Teruskan membaca dan membacanya semoga hidayah Allah kekal bersamamu.

Tetapi andai kata kita mendapati kita masih tidak taat kepada Allah, dan tidak pun menghindarkan diri dari melakukan apa yang dilarang oleh Allah, tidak kuat keyakinan kita terhadap janji-janji Allah, tidak merasa gerun mendengar ayat-ayat azab dan ancaman Allah, maka bersegeralah kita bertaubat kepada Allah.

Jika kita tidak mampu menangis kerana insaf biarlah kita menangis kerana kita tidak mampu menangis.
(Imam Habib Abdullah Haddad: Kitab Nasihat Agama dan Wasiat Iman)

Nota: Penulisan ini di salin dari buku Kewajipan Kita Dengan Al-Quran, tulisan Ustaz Haji Ghazali Bin Haji Omar Al-Muqri, bagi mengumpul dana untuk pembangunan Akademi Syahadah Tahfiz Al-Faizin.

Sekiranya anda ingin memberikan sumbangan ikhlas dalam membantu mengembangkan ilmu Allah, sumbangan boleh disalurkan kepada:

CIMB Islamic: Akademi Syahadah Tahfiz Al-Faizin
No. Akaun Bank: 1244-0004136-20-9 

Untuk keterangan lanjut hubungi:


Ustaz Ahmad Fauzi Bin Mat Ellah,
PT759, Jalan Melawati 3/23, Bandar Melawati,
45000 Kuala Selangor, Selangor.
019-6110857 @ 013-2270239


Hubungi secara online:
facebook.com/tahfizastaf

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...